Monday 16 July 2012

Tips Penjimatan Wang

Zaman sudah berubah, kos hidup semakin meningkat hari demi hari. Pendapatan pula, masih kekal di takuk lama tidak berubah. Mengharapkan bonus, hanya hujung tahun. Gaji setiap bulan, harus di bayar dengan pelbagai bil dan perbelanjaan wajib setiap bulan untuk meneruskan hidup.

Di sini, diterangkan serba sedikit tips dan perkongsian untuk menjimatkan wang dan duti gaji setiap bulan. Semoga ia dapat membantu, meningkatkan kuasa beli dan kuasa simpan wang gaji anda setiap bulan.

1. Membuat senarai perbelajaan.
Senarai perbelanjaan ini penting dalam membantu anda membeli hanya yang perlu sahaja. Ia juga dapat mengelak daripada membeli barang-barang yang tidak diperlukan.

2. Mengasingkan siap-siap wang simpanan daripada gaji.
Ini penting agar anda mempunyai wang simpanan daripada gaji anda setiap bulan. Simpanan ini bukan sahaja untuk masa hadapan, malah dapat melatih anda mempunyai disiplin dalam membelanjakan wang gaji anda dengan berkhemah.

3. Membuat bajet belanjawan.
Bajet ini penting agar anda mengetahui ke mana perginya wang anda dengan lebih baik. Ke mana wang anda disalurkan setiap bulan, berapa jumlah simpanan anda yang sepatutnya ada dan sebagainya.

Sekadar ini sahaja tips untuk perkongsian untuk kali ini, semoga ia memberi manfaat kepada anda dalam menempuhi hidup yang mencabar ini.

Monday 9 July 2012

Perancangan Kewangan: Kepentingan dan Kegunaan

Ramai orang menganggap perancangan kewangan sebagai sesuatu yang membebankan serta menghalang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang menyeronokkan. Kalau sentiasa hidup berjimat, sudah tentu anda perlu mengorbankan aktiviti-aktiviti keseronokan sekarang, bukankah begitu?

Cuba fikirkan, jika anda perlu berjimat, anda masih boleh memperuntukkan wang dengan sedemikian supaya anda mempunyai wang untuk keluar dengan rakan-rakan dan bersuka ria. Jika anda dapat mengaturkan tabiat perancangan kewangan yang baik, anda boleh memastikan anda mempunyai cukup wang untuk lebih berseronok pada masa hadapan!

Dengan merancang kewangan, anda berupaya mengelakkan perbelanjaan berlebihan, hutang tidak terurus, kebankrapan atau kebergantungan kepada orang lain. Anda juga dapat mengeratkan lagi hubungan peribadi dengan orang disekeliling anda, seperti keluarga, kawan-kawan dan rakan sekerja kerana anda gembira dengan kehidupan anda dan tidak perlu pinjam-meminjam wang untuk memenuhi keperluan atau mengharapkan sumbangan kepada orang lain.

Selain itu, anda juga akan bebas daripada kebimbangan kewangan kerana anda telah merancang bagi masa depan, menjangka perbelanjaan dan mencapai matlamat peribadi hidup dan mampu menjadi lebih efektif untuk mendapatkan, menggunakan dan melindungi sumber kewangan anda sepanjang hayat, bukan bagi diri anda malah bagi mereka yang tersayang.

Dengan erti kata lain, apabila anda mempunyai pelan kewangan peribadi yang terurus, anda lebih arif tentang keperluan masa depan dan sumber yang sedia ada. Anda juga mendapat ketenangan kerana mampu mengawal segalanya. Hebat?

Tapi apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan perancangan kewangan?
Kalau mengikut definisi buku, ia adalah satu proses di mana seseorang individu merancang masa hadapan dalam memenuhi matlamat peribadi dan kewangan melalui pembangunan dan perlaksanaan perancangan kewangan yang menyeluruh.

Secara praktikal, perancangan kewangan adalah segala yang berkaitan dengan mengurus kedudukan ekonomi atau kewangan seseorang individu dengan mengambil kira perkara-perkara yang ingin dilakukan seperti berkahwin, membeli aset seperti kereta atau rumah, merancang untuk mendapatkan anak serta perancangan pendidikan anak kita. Melalui perancangan kewangan, kita dapat mengenal pasti cara-cara membuat belanjawan, menabung dan membelanjakan wang dalam suatu tempoh masa yang tertentu. Selain itu juga, ia adalah panduan untuk membantu anda mencapai sesuatu matlamat pada masa hadapan.

Tapi lazimnya, rakyat Malaysia masih belum diberi pendedahan secukupnya mengenai perkara ini. Kita harus akui bahawa dalam pendidikan formal di Malaysia, subjek tentang kewangan peribadi masih belum dilaksanakan secara menyeluruh. Natijahnya ramai rakyat Malaysia yang telah bekerja mengalami masalah kewangan terutamanya berkaitan tentang perbelanjaan dan hutang sedangkan separuh daripada manusia terkaya di dunia adalah perancang kewangan. Nama-nama seperti Warren Buffet (pemilik AIG Group) orang kedua terkaya di dunia dan keluarga Waltons (asasnya pemilik Wal-Mart) di mana 4 orang ahli keluarganya adalah antara 10 terkaya di dunia pada amnya adalah perancang kewangan yang boleh dijadikan contoh.